antenna hf & 6m di rumah

Pengendali radio amatur di Malaysia memiliki keistimewaan dan kebenaran untuk memancar di kebanyakan frekuensi tinggi (HF) dan di jalur 6m. Antara jalur yang popular dan sering digunakan bagi tujuan komunikasi jarak jauh (DX) mahupun ragchew tempatan ialah 80m, 40m, 30m, 20m, 17m, 15m, 12m, 10m dan 6m. Setiap jalur memiliki keistimewaan dan peminatnya yang tersendiri. Namun, operasi di jalur HF dan 6m memerlukan ruang yang luas bagi membolehkan pengendalinya memasang antenna dan kelengkapan yang berkaitan. Namun begitu, terdapat juga beberapa reka bentuk antenna yang boleh dipasang dalam keadaan ruang yang terhad dan masih memberikan prestasi yang baik.

Cobwebb 14/18/21/24/28MHz

Memasang antenna HF di rumah bukanlah satu perkara yang mudah kerana pelbagai aspek perlu diambil perhatian. Salah satu daripadanya ialah saiz antenna. Kebanyakan pengendali radio amatur ketika ini mempunyai kekakangan ruang di rumah masing-masing. Oleh itu, pasti ramai yang mencari antenna yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut.

Salah satu antenna yang boleh dicadangkan ialah antenna CobWebb (atau juga disebut Cobweb). Antenna ini memiliki corak radiasi yang hampir sekata 360 darjah. Oleh itu, pengguna antenna ini tidak perlu memasang pemusing antenna untuk menghala ke arah tertentu. Terdapat pelbagai versi yang dibuat dan dipasarkan di pasaran. Namun, dalam perkongsian ini, REAKSI ingin memperkenalkan antenna CobWebb 5 jalur (14/18/21/24/28MHz) versi yang dihasilkan oleh Steve Webb, G3TPW. Antenna versi ini hanya memerlukan sambungan "Choke Balun" yang mudah dibuat berbanding versi lain yang lebih kompleks dan memerlukan Toroid dan Balun 1:1 + 1:4.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

UKURAN DAN BINAAN PRAKTIKAL

Cobwebb Design.pdf

20m Moxon + 15m&10m Open Sleeve

Bagi mereka yang memiliki ruang yang agak luas dan terbuka, salah satu antenna yang boleh dicuba ialah antenna 20m Moxon + 15m&10m Open Sleeve Dipole. Antenna ini berkerja bagi tiga jalur iaitu 14, 21 dan 28MHz dengan hanya satu titik suapan terus kepada "Choke Balun" dan Coax 50 Ohm. Antenna ini telah direka bentuk oleh Sofi, 9W2XIO pada 2017, kemudian difabrikasi oleh ahli-ahli REAKSI dan akhirnya dipasang di rumah kelab lama REAKSI 9M4CRX di Tanjong Piandang.

Antara kelebihan antenna ini ialah struktur mekanikal yang lebih kukuh bagi menghadapi rintangan angin. Hal ini kerana elemen antenna panjang iaitu bagi jalur 20m telah dibentuk menjadi segi empat dan diikat oleh satu paip PVC pada jarak yang telah ditetapkan. Dengan teknik ini juga saiz antena menjadi lebih kecil. Pengguna antenna ini akan menikmati kekuatan isyarat dBi yang lebih tinggi bagi jalur utamanya iaitu 14MHz di samping memiliki kekuatan yang sederhana bagi dua lagi jalur iaitu 21 dan 28MHz.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

UKURAN DAN BINAAN PRAKTIKAL

COAXIAL J-POLE

Pelbagai reka bentuk antenna jenis suapan hujung (end-fed) boleh diperolehi di internet ketika ini. Antara yang paling popular ialah "End-Fed Half Wave". Antenna ini mempunyai panjang elemen hanya sekitar setengah lambda di frekuensi talaan. Kebiasaannya antenna tersebut dibina dengan bantuan UnUn atau pengubah galangan dengan nisbah 49:1 atau 64:1 yang menggunakan teras Ferrite atau serbuk besi.

Namun, terdapat kaedah lain bagi mendapatkan galangan yang sepadan bagi elemen separuh lambda, iaitu menggunakan talian Coax yang dipotong mengikut panjang-panjang tertentu. Potongan Coax tersebut berfungsi sama seperti stub yang dibina pada antenna J-Pole. Disebabkan itulah ia dinamakan Coaxial J-Pole.

Disebabkan panjang stub tersebut bergantung pada lambda atau frekuensi tertentu, maka antenna ini secara asasnya hanya berkerja dengan baik dalam julat frekuensi tertentu sahaja. Individu yang ingin membuat antenna ini perlu menetapkan frekuensi talaan yang diinginkan. Kemudian, panjang antenna dan stub boleh dipotong mengikut seperti mana yang dinyatakan dalam rajah di bawah.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

UKURAN DAN BINAAN PRAKTIKAL